Monday, October 6, 2008

Pengalaman Pertama


Sebagai mukadimah, aku kongsikan dahulu apa yang aku boleh katakan pengalaman pertama aku. Ini pun diceritakan oleh mama kepada aku. Ceritanya begini...

Ketika itu aku berusia dalam dua tahun. Mama dalam pantang selepas melahirkan adik aku, Nelisa. Mama ceritakan padaku, pada suatu malam selepas menyusukan Nellie, hatinya tergerak untuk melihat keadaan aku di dalam bilik. Maklumlah, dah tengah malam, mak mana tak tergerak hendak melihat anaknya yang sedang tidur.

Sebenarnya mama berasa tidak sedap hati. Ketika itu mama dan papa menyewa di sebuah rumah di SS2 Petaling Jaya. Rumah corner lot kata mama. Mama dari dulu sampai sekarang suka rumah penjuru kerana ada tanah luas. Balik kepada cerita aku. Mama berasa tidak sedap hati lalu masuk ke bilik.

Alanglah terkejutnya mama apabila aku tiada di dalam bilik. Puas dia mencari aku di setiap penjuru tingkat atas. Mama pun memanggil pembantu rumah menyuruh dia sama mencari aku. Mereka kini mencari aku di tingkat bawah. Sampai ke dalam stor mereka mencari aku.

Apabila mencari di dapur, meremang bulu tengkuk mama apabila mendengar suara aku terkekeh di belakang rumah. Mama cakap gelak aku itu seperti aku diagah seseorang. Mama memasang lampu belakang dan mengintai luar dapur. Alangkah terkejutnya mama apabila mendapati aku sedang duduk bersila di bawah perdu pokok pisang dan terkekek ketawa kegembiraan.

Mama terus membuka pintu dapur dan membawa aku masuk. Mama kehairanan bagaimana aku boleh keluar rumah sedangkan ke semua pintu berkunci rapat. Sehingga kini kalau aku tanya mama, mama masih belum dapat kepastian bagaimana aku boleh keluar dan siapa yang membawa aku keluar.

Nanti aku sambungkan cerita pengalaman aku yang kedua, di dalam ruang tamu rumah aku pula!
posted by MaMan at 6:45 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home