Tuesday, October 7, 2008

Pontianak


Puntianak atau lebih popular dieja sebagai pontianak, dipercayai oleh masyarakat Melayu bahawa ia berasal daripada perempuan yang mati ketika mengandungkan anaknya. Terdapat juga pendapat menyatakan bahawa ia merupakan jin (hantu) liar yang bertindak mengganggu manusia.

Ejaan pontianak adalah lebih popular dikalangan penutur Melayu dengan 883,000 keputusan bagi untuk pontianak di Google, berbanding hanya 557 untuk puntianak. Oleh itu keputusan menukar ejaan jelas kurang popular dan tidak diterima secara meluas dikalangan penutur Melayu.

Sekitar tahun 1950-an beberapa filem hantu telah difilemkan di Singapura terutamanya oleh Cathay-Keris yang masih menarik untuk ditonton hari ini. Antara yang mashyur adalah Filem Pontianak, Filem Sumpah Pontianak (B.N Rao, 1957, 1958), Filem Anak Pontianak (Ramon A. Estella, 1958), dan Orang Minyak (L. Krishnan, 1958). Ia memberi kesan yang amat sangat sehingga dilaporkan ada penonton yang pengsan kerana menonton filem-filem tersebut. Filem-filem tersebut berasaskan dari lagenda Melayu amat menghiburkan masa kini sebagaimana ketika ia dikeluarkan, walaupun kini ia mungkin dianggap tidak lagi menakutkan dan amat melucukan berbanding keadaan sebenar ketika filem tersebut dihasilkan.

Dalam kebanyakan cerita seram yang ditunjukkan di televisyen, ia menayangkan bahawa hantu puntianak membunuh mangsanya dengan menghisap darah di bahagian tengkuk mangsa. Namun begitu di dunia yang nyata, tiada kes dilaporkan mengenai adanya manusia yang mati dibunuh oleh puntianak.

Filem-filem tersebut mendorong kepada ketaksuban rakyat masa itu kepada perkara-perkara kurafat, yang akhirnya menyebabkan filem-filem sedemikian diharamkan penghasilan dan disekat daripada saluran kerajaan. Ini bagi menyekat kepercayaan karut yang timbul kesan daripada cerita-cerita sedemikian.

Pada masa kini, dengan cahaya yang terang sepanjang masa, kebanyakan kita menganggap ketakutan yang ditunjukkan dalam filem tersebut sebagai mengarut. Tatapi apabila kita berhadapan dengan suasana yang serupa, keadaan gelap ditengah hutan dengan haiwan buas berkeliaran, ketakutan terhadap sesuatu yang tidak dapat dilihat merupakan sesuatu yang benar bagi mereka yang hidup ketika itu.

Puntianak ini dikatakan mempunyai lubang dibelakang tengkuknya. Sesiapa yang berjaya hidup ketika berjumpa puntianak dalam jelmaan wanita dan memasukkan paku ke dalam lubang ini dikatakan menjadikan puntianak tersebut kekal menjadi wanita cantik. Sekiranya paku itu dikeluarkan, ia akan kembali sebagai puntianak. Bagaimanapun, anda dinasihatkan agar tidak cuba memaku mana-mana wanita yang dijumpai kerana akhirnya anda mungkin akan dituduh membunuh.

Hantu puntianak dikatakan sering menjelma sebagai wanita cantik yang berjalan seorang diri dijalan yang sunyi. Oleh itu, cerita ini kemungkinan bertujuan menghindari golongan wanita daripada diganggu oleh pemuda-pemuda yang takutkan puntianak ketika berjalan seorang diri di jalan yang sunyi.
posted by MaMan at 7:54 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home